Saturday, August 14, 2010

Pengenalan Hari Raya Aidilfitri (SHAHRUNIZAM BIN KAMARUDIN 198062)



Apa itu hari raya? Pada lughah atau pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasaraya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama. Begitu juga dengan lebuhraya dan sebagainya. Oleh itu,hari raya bermaksud hari yang besar atau hari yang utama.
Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.
Hari Raya Aidilfitri iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita. Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai. Hari raya fitrah patut diisi dan dipenuhkan dengan berzikir, bertafakur, bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan. Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment